14 Oktober 2016 - 06:18
Riyadh Kehilangan Sekutu Kerana Perbezaan Pendapat Di Dalam Isu Serantau.

Arab Saudi semakin terasing rentetan perbalahan diplomatik di antara Riyadh dan Kaherah berhubung sokongan Mesir terhadap resolusi Rusia tentang isu Syria di Majlis Keselamatan PBB.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Arab Saudi semakin terasing rentetan perbalahan diplomatik di antara Riyadh dan Kaherah berhubung sokongan Mesir terhadap resolusi Rusia tentang isu Syria di Majlis Keselamatan PBB. Resolusi itu bertentangan dengan polisi Riyadh yang mahukan perubahan rejim berlaku di Syria.

Seorang penganalisis politik Mesir mengatakan bahawa negara beliau akan meneruskan dasar luarnya secara bebas tanpa pengaruh dan tekanan pihak luar walaupun negara itu berada di dalam situasi ekonomi yang bermasalah dan menerima bantuan kewangan daripada Riyadh.

"Sebahagian pihak di Arab Saudi percaya bahawa bantuan kewangan (yang mereka berikan kepada Kaherah) bermakna Mesir tidak lagi memiliki kebebasan di dalam menentukan polisi luarnya. Perkara ini tidak boleh diterima. Mesir sememangnya di dalam situasi yang sukar namun ia tidak akan tunduk kepada sesiapapun di dalam menentukan polisinya," kata Hassan Nafya yang merupakan seorang professor sains politik di Universiti Kaherah.

Menurut beliau lagi, Mesir perlu mempertahankan kadaulatannya di dalam membuat polisi sambil menambah bahawa polisi tersebut perlu dibuat berdasarkan kepentingan dan keperluan keselamatan negara.

"Akan tetapi, Arab Saudi seakannya mahu menjadi satu-satunya pemimpin di dalam dunia Arab," katanya lagi. Beliau juga menambah dengan berkata bahawa Riyadh percaya bahawa kepentingan mereka dan kepentingan keseluruhan dunia Arab adalah sebuah perkara yang sama. Hassan Nafya juga mengakui bahawa Mesir dan Arab Saudi mempunyai pendirian yang berbeza tentang solusi konflik di Syria.

"Pihak Saudi mempunyai masalah dengan Presiden Bashar Assad manakala kebimbangan Mesir bukanlah Assad sendiri, tetapi keutuhan wilayah Syria dan proses mewujudkan suasana yang akan membolehkan rakyat Syria sendiri untuk memilih Presiden mereka sendiri. Perletakan jawatan oleh Assad tidak boleh dijadikan pra-syarat untuk maju di dalam proses damai," kata beliau lagi.

Di dalam perkembangan yang berkaitan, syarikat minyak milik negara Arab Saudi, Aramco dilaporkan telah menghentikan penghantaran minyak ke Mesir sekaligus memaksa Mesir untuk mencari bekalan yang baru.